Friday 25 June 2010

DQ...Masihkah Kau Ingat

Barisan generasi pertama pelajar Darul Quran bergambar kenangan bersama Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman al-Haj.


Hari ini hari Jumaat. Apabila membaca sisipan Mega Fokus dalam akhbar Utusan Malaysia mukasurat 4 rencana tentang huffaz Quran dan gambar hitamputih tidak bewarna yang di atas, membuat minda ini mengimbau kembali kenangan dulu-dulu..


Di bawah adalah petikan sejarah penubuhan Darul Quran dari lamanweb JAKIM untuk rujukan bersama:-


Penubuhan Darul Quran bermula pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat ini telah dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai 8 orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.

Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.

Awal tahun 1979 Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983.

Sehinggalah pada tahun 1984 Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.

Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994 pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14 Sg. Semungkus Hulu Langat Selangor.

Pada tahun 1997 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor.







Mungkin YTM Tunku Abdul Rahman bukan dari golongan ulama’(tetapi mungkin Tunku lebih baik daripada 40 ulama muda yang selamat menyertai UMNO hari ini ) tetapi peranan beliau di dalam membangunkan syiar Islam untuk menempatkan negara ini sebagai negara Islam bukannya kecil.


Kadangkala jasa-jasa mereka ini tenggelam dek terlalu banyak bergelumang dengan politiking sempit sehingga jasa-jasa mereka yang berjasa terbabas jauh dan kesempitan diambil oleh mereka yang berwajah-wajah. Malah yang mengeciwakan apabila nama Islam dijaja menjadi modal politik dan alat untuk berkuasa.



~masihkah kau ingat kita berlari-lari ..di kaki tasik menunggu teksi..~

Saturday 19 June 2010

Tribute TO Flotilla Gaza~

Iara Lee, salah seorang penumpang Mavi Marmara dari Amerika Syarikat berjaya membawa keluar rakaman bagaimana tentera Zionis membunuh orang awam dalam rombongan Flotilla Gaza. Rakaman beliau ini terlepas dari rampasan Israel.

Saksikan..



Thursday 17 June 2010

Gambaran Bangsa Yang Calar-balar

ADA petanda bahawa sebagai bangsa kita mulai menggelonsor. Bayangkan hampir selama enam dekad merdeka, kita masih terus menjerit sakit. Terakhir, kita mula tidak lagi mengenal sempadan haram halal—bukan soal perjudian saja. Sebelum itu pun, siasahwan kita pernah—malah masih—merongrong Akta Bahasa. Lebih awal lagi, kita berjaya menazakkan tulisan Jawi. Dan, dengan kelulusan lesen judi kini nyatalah kita sedia apa saja, termasuk mencemari ajaran agama.(Tunggu natijah rasminya 26 Jun ini!).


Pendeknya, kita tidak saja tergamak memborosi dana negara (dengan hadiah-hadiahan mewah demi kempen pilihanraya), malah kita seolah menggalakkan manusia dan barangan agar cepat bertanda harga—agar semua mudah dibeli, termasuk para MP.


Kita pernah mencungapkan nafas sekolah agama rakyat dengan dakwaan kononnya di situlah mercupnya tunas pengganas. Malah lebih berdarah—dan sangaat bersejarah—sebelum itu, kuasawan bangsa sendiri juga pernah memacetkan pendakwah Islaminya dengan ratusan peluru selepas mewajahkan mereka sebagai penganut ajaran sesat. (“Masihkah Kau Ingat” peristiwa Memali?)


Dalam aliran peristiwa kacau-bilau itu, seolah tanpa sedar, kita turut galak melahirkan penggayut kuasa dan pengejar harta yang sebahagiannya memang tuli rasa. Malah kita seolah mendorong mereka agar cepat hanyut dan lekas lemas dalam kalutan murni-cemar dan halal-haram masalah asas.


Oleh kocakan peristiwa yang penuh gamam ini, sesetengah kuasawan tetiba menjadi terlalu berkuasa, terkadang ke tahap menyegankan perlembagaan negara. Siapa yang menakik keluhuran kuasa raja, dan siapa pula yang seolah mengongoi kerana rajanya kini kurang dihormati? Bukankah kuasawan yang sama?


Pada aras lain, agihan kekayaan yang sangat bergelombang kini payah diwarasi. Mula terserlah kini yang mendadak kaya adalah di kalangan kuasawan sendiri.


Malah dengan perubahan mendadak sesuatu takrif, khazanah sejarah pun tampaknya hampir terjual—“Masihkah Kau Ingat” nasib bangunan Universiti Malaya? Gambaran calar-balar ini kini tampaknya sangat terkesan pada UMNO (diakui sendiri oleh mantan kuasawan adinya). Kerana parti itu diyakini tidak dapat membela bangsanya, maka sangatlah diperlukan Perkasa dan Gertak, hujahnya. Jadi, UMNO?